Kamis, 04 Juni 2009

Amalan Shodaqah Lebih Afdal Utamakan Keluarga


Wajib penuhi keperluan mereka di bawah tanggungan sebelum menolong orang
lain

TANGAN di atas lebih baik daripada tangan yang menerima ialah galakan
supaya kita menjadi orang suka memberi, bukan yang meminta kerana
kedudukan bersedekah lebih baik terutama jika mereka melakukannya dengan
hati yang ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tangan di atas lebih baik
daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi
tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan
mencukupi (segala keperluan). Siapa memohon dipelihara (untuk tidak
meminta-minta) , maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon
dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan
kehidupannya. " (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Amalan sedekah yang dianjurkan Islam bertujuan melengkapkan kitaran
hidup antara yang kaya dengan miskin kerana sebagai pihak mempunyai
kelebihan, mereka bertanggungjawab membantu saudara yang memerlukan.

Mereka yang gemar bersedekah dijanjikan Allah ganjaran pahala yang
besar. Firman-Nya yang bermaksud: "Siapakah yang mahu meminjamkan
(hartanya) kepada Allah dengan pinjaman yang baik (iaitu dengan
mendermakannya pada jalan Allah), lalu Allah melipatgandakan
(balasannya) dan untuknya pahala yang mulia." (Surah al-Haddid, ayat 11)

Saranan supaya dimulakan sedekah kepada mereka yang menjadi tanggunganmu
menjelaskan keutamaan bersedekah iaitu dengan mendahulukan keluarga di
bawah tanggungan yang memerlukan bantuan. Sabda Rasulullah SAW
bermaksud: "Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan
Allah, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar
yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan
kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau
nafkahkan untuk keluargamu." (Hadis riwayat Muslim)

Niat bersedekah juga perlu melihat kepada pihak yang ingin diberi
sumbangan kerana ada sesetengah pihak bersedekah kepada orang lain,
tetapi ahli keluarga tidak diberi perhatian sedangkan mereka juga
mengharapkan sumbangan.

Rasulullah SAW menjelaskan melihat keperluan bersedekah kepada golongan
yang ingin dibantu. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sedekah kepada
orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat
mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung
silaturahim. " (Hadis riwayat Ahmad)

Jika seseorang bersedekah sedang dia tidak memenuhi keperluan mereka
yang berada di bawah tanggungannya, maka dia dianggap berdosa kerana
mengutamakan amalan sunat bersedekah berbanding amalan diwajibkan
baginya iaitu memenuhi segala keperluan keluarganya.

Sabda Nabi SAW: "Cukup seseorang dinilai berdosa apabila dia
mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya. " (Hadis riwayat Muslim)

Jangan pula kerana terlalu ghairah untuk bersedekah, konon ingin
mendapat keredaan serta ganjaran pahala, kita lupa tanggungjawab
menyelesaikan urusan termasuk melunaskan hutang.

Menjelaskan permintaan hamba kepada Allah supaya dicukupkan keperluan
dan dijauhkan daripada amalan meminta-minta, supaya umat Islam menjaga
kehormatan diri serta berusaha mencari rezeki dengan kudrat yang ada.

Sebaiknya, orang miskin tidak menampakkan kekurangan dalam hidupnya dan
sentiasa bersabar serta reda dengan ketentuan Ilahi. Perbanyakkan doa
kepada Allah supaya terpelihara diri dan keluarganya daripada sikap suka
meminta. Menerusi sikap sedemikian, Allah akan memberinya kelapangan
dalam hidup (meskipun tidak mewah) dan menetapkan sifat qana'ah (cukup)
dalam jiwanya. Sebaliknya bagi mereka yang tidak memohon kepada Allah,
tidak akan mendapat pertolongan- Nya.

Jika seseorang jauh daripada pertolongan serta perlindungan Allah,
jiwanya lebih cenderung untuk melakukan perkara diharamkan.

Selagi seseorang itu mampu untuk bekerja dia perlu berusaha
bersungguh-sungguh memenuhi keperluan hidup bagi diri dan keluarga
daripada hasil titik peluhnya dan jangan mengambil jalan mudah dengan
menjadi peminta sedekah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Salah seorang daripada kalian yang
mengambil tali lalu tali itu digunakan untuk mengikat kayu bakar di atas
punggungnya lalu dia menjualnya, maka dia menutup wajahnya (menjaga
kehormatannya dengan bekerja) lebih baik daripada dia meminta daripada
manusia, yang ada kalanya memberi atau tidak memberi." (Hadis riwayat
al-Bukhari)

Hadis ini ialah dalil diharamkan seseorang itu menjadi peminta sedekah
selagi dia masih mampu bekerja. Mereka yang suka meminta sedangkan mampu
bekerja tetapi malas ialah golongan yang dicela.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seseorang lelaki yang sentiasa meminta
daripada orang lain, pada hari kiamat yang akan datang, pada wajahnya
tidak ada sedikit daging pun." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Justeru, berusaha untuk mengelakkan diri daripada sikap suka meminta,
apatah lagi bagi mereka yang sudah dicukupkan Allah rezeki, tetapi masih
suka mendapat barangan yang diberi orang lain semata-mata untuk menambah
apa yang ia ada.

Lebih baik pihak yang dikurniakan Allah rezeki, bersedekah kepada mereka
yang memerlukan terutama barangan yang ia sayang, tetapi barang itu
mendatangkan manfaat lebih kepada orang lain..

Tidak ada komentar:

Posting Komentar